> 1 <

Author Message
izman

[1] Members


Online status
222 posts
Location: Port Klang Malaysia
Occupation: Kerja Kilang
Age: 34

#1709   05/06/2009 09:05 GMT-13 hours      
BUKIT KAYU HITAM 4 Jun - Kedah bakal mempunyai fakulti pertanian menerusi perjanjian kerjasama antara Kolej Pertanian Malaysia (KPM) di Bukit Tangga di sini dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam usaha melahirkan lebih ramai graduan pertanian pada masa depan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum berkata, berikutan itu, Kolej Pertanian bernilai lebih RM100 juta di Bukit Tangga, di sini akan menjadi kampus pertanian.

''Kawasan sini (Bukit Kayu Hitam) sesuai kerana mempunyai pelbagai kemudahan dalam sektor pertanian seperti kedudukannya berhampiran UUM di Sintok, Kolej Pertanian dan Stesen Mardi (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) di Bukit Tangga.

''Menerusi kerjasama tersebut, juga melibatkan Mardi dan buat masa ini syarikat berkaitan kerajaan iaitu Sime Darby Bhd., jadi pelajar yang menamatkan pengajian di Kolej Pertanian akan bertaraf lepasan universiti," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Bersama Pelanggan sempena Bulan Teknologi Pertanian Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Stesen Mardi Bukit Tangga di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr. Shukor Abdul Rahman, Naib Canselor UUM, Tan Sri Dr. Nordin Kardi dan Pengurus Stesen Mardi Bukit Tangga, Khadzir Darus.

Menurut Mohd. Johari, dengan kerjasama seumpama itu, UUM bakal mempunyai sebuah lagi kolej baru iaitu Kolej Pertanian selain tiga kolej sedia ada iaitu Kolej Perniagaan, Kolej Sastera dan Sains serta Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa.

Sehubungan itu, kata beliau, perbincangan akan diadakan di antara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Mardi, UUM dan Sime Darby bagi memastikan hasrat tersebut tercapai.

''Gabungan antara pihak-pihak terlibat penting, sebagai contoh UUM lahirkan graduan pertanian yang mempunyai ilmu dalam perniagaan, Mardi menyediakan penyelidikan manakala Sime Darby mendedahkan pelajar tentang budaya korporat," kata beliau.

Mohd. Johari menjelaskan, tenaga-tenaga pengajarnya mungkin daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani manakala lain-lain kemudahan disediakan oleh UUM.


Sumber Berita : Utusan Online 05/06/09 (www.utusan.com.my)

> 1 <